SPWinds melancarkan Konsert Gala dan Malam Amal SPWinds Flourishes 2019 pada 29 Jun nanti bagi mengumpul dana untuk membolehkan kumpulan tersebut untuk melakukan persembahan ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SPWinds, Adzman Shah berkata, pengumpulan dana tersebut bagi membolehkan kumpulan itu membuat persembahan di Konsert Pembukaan 30th Australian International Music Festival (AIMF2019), Sydney Australia yang akan berlangsung pada 4 hingga 11 Julai ini.

“Kumpulan orkestra terkenal itu sering mendapat jemputan untuk mengadakan persembahan di peringkat antarabangsa seperti Netherlands, Los Angeles dan New York.

“Jemputan ke Sydney, Australia merupakan satu pengiktirafan buat SPWinds kerana kumpulan orkestra yang mempunyai tahap persembahan cemerlang sahaja yang akan mengadakan persembahan di majlis itu,” katanya dalam majlis pelancaran Konsert Gala dan Malam Amal SPWinds Flourishes 2019 dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Pusat Subang Parade, Amos Chew; Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru SSP, Hasnal Hashim; Penolong Kanan Kokurikulum SSP, Zuraini Mohd. Zain dan Timbalan Pengerusi SPWinds Road To Sydney, Datuk Md. Ariffin Mahmud.

Tambah Adzman, pihaknya menyasarkan 800 tetamu jemputan terdiri daripada syarikat korporat, alumni, ibu bapa dan peminat.

“SPWinds memerlukan perbelanjaan sebanyak RM600,000 untuk membiayai 70 pelajar dan guru pengiring ke program itu.

“Harga meja makan malam itu adalah VIP (RM10,000), Platinum (RM5,000), Emas (RM3, 000) dan Perak (RM 2,000) dan mereka yang ingin membeli meja sambil menyumbang boleh hubungi Adznan Shah dalam talian 017-223 1888 dan Sharifah Ivy (019-288 6202),” katanya. - UTUSAN ONLINE