Azam Baki

Memetik laporan NST Online, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, setakat ini, memang tiada lagi undang-undang di Malaysia yang memberi garis panduan bagi mengawal isu berkenaan.

“Parlimen belum lagi meluluskan undang-undang yang memberikan panduan kepada parti politik atau ahli politik mengenai penerimaan dana politik. Akta SPRM 2009 juga tidak meliputi kesalahan yang berkaitan dengan politik wang.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan mengetuai Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan me­ngenai Pembiayaan Politik untuk mengkaji undang-undang menge­nai pembiayaan politik,” katanya.

Azam berkata, beliau percaya bahawa rang undang-undang mengenai pembiayaan politik boleh dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Beliau berkata de­mikian bagi mengu­las kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini yang menuntut Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad meletakkan jawatan berikutan ‘kegagalannya’ untuk mene­mukan rasuah RM1 bilion yang diterima oleh beliau daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ulasan Azam itu turut disiar­kan oleh Buletin Utama TV3 malam ini.

Bagaimanapun Azam berkata, suruhanjaya itu tidak akan me­nyiasat perkara itu berikutan tidak menerima sebarang laporan.

“Ia bukan isu sama ada kita tahu atau tidak. Isu ini muncul di media sosial tetapi tiada siapa yang membuat laporan.

“Tetapi, apa yang kita tahu, ia bukan satu kesalahan di bawah undang-undang kita dan itulah sebabnya kami tidak membuka kertas penyiasatan mengenai perkara itu,” katanya.

Dakwaan itu dibuat oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin dalam satu catatannya baru-baru ini bertajuk “Mahathir menyuap Kit Siang RM1 bilion untuk menjadi Pengerusi Pakatan”.

Raja Petra mendakwa, sebagai balasan untuk pelantikan Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, Kit Siang tidak akan bersuara terhadap skandal pertukaran wang asing Bank Negara, yang berlaku semasa jawatan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Dakwanya lagi, perjanjian itu juga melibatkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang sepatutnya dibenarkan bertanding di kerusi parlimen ‘selamat’ dalam pilihan raya umum akan datang.

Raja Petra juga mendakwa Kit Siang mempunyai RM750 juta setakat ini dan baki akan dibayar apabila pencalonan Mukhriz di­sahkan.

Menurut laporan media bulan lalu, undang-undang untuk menga­wal pembiayaan politik yang dinamakan Akta Derma dan Perbelanjaan Politik, akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Seng Kuan berkata, ini adalah kerana sifat kompleks yang memerlukan usaha yang luas dari jawatankuasa perundingan kebangsaan mengenai pembiayaan politik.