Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya telah menerima laporan audit tersebut dan pegawainya sedang meneliti secara terperinci.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu pasukan khas juga akan ditubuhkan bagi melihat kes-kes yang mempunyai isu rasuah dan salah guna kuasa supaya tindakan seterusnya dapat diambil.

“Memang terdapat beberapa isu yang boleh diteliti oleh SPRM untuk tindakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sahabat Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) SPRM di Bukit Bintang di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, seba­nyak 14 agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ja­batan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Bomba dan Pe­nyelamat Malaysia (JBPM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Anti Rasuah Malaysia menjadi antara agensi pertama mendaftar sebagai Sahabat Ge­rah SPRM sejak dilancarkan pada 8 Mei lalu.

Semalam, Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, mengemukakan 353 syor bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan kerajaan negeri untuk memperbaiki kelemahan dilaporkan.

Sementara itu, Dzulkifli memaklumkan, Sahabat Gerah SPRM merupakan inisiatif suruhanjaya itu untuk mendekati dan membuka peluang kepada masyarakat bersama-sama menjayakan agenda SPRM dalam memerangi ra­suah dan salah guna kuasa yang wujud di negara ini.

“SPRM mempunyai 2,900 anggota sahaja dan bilangan itu sudah semestinya tidak mencukupi untuk ‘menjaga’ lebih 1.6 juta penjawat awam dan kakita­ngan swasta. Di sinilah Sahabat Gerah diperlukan bagi menjadi mata dan telinga SPRM selain menyum­bang idea dalam usaha SPRM memerangi rasuah.

“Sejak dilancarkan, kita telah menerima sebanyak 1,007 pendaftaran dan bilangan itu dijangka meningkat,” ujarnya.

Mengulas sempena genap setahun beliau menerajui SPRM hari ini, Dzulkifli melahirkan rasa syukur dengan apa yang dicapai dan berbangga kerana keyakinan masyarakat kepada SPRM serta sokongan mereka terhadap institusi itu meningkat.