Beliau berkata, perumpamaan ‘monyet’ yang diberikan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang terhadapnya adalah melampau dan biadab kerana menggunakan perkataan tidak bertamadun.

Sehubungan itu, Dzulkifli mahu rakyat di negara ini menilai sendiri adab bicara pemimpin DAP tersebut.

“Saya hendak rakyat Malaysia menilai Kit Siang dengan perkataan yang digunakan itu (dengan membuat perumpaaan sebagai monyet). Nilailah adab bicara Kit Siang tersebut.

“Adakah itu budaya Malaysia? Biar rakyat menilainya. Kita terbuka untuk menerima kritikan tetapi jangan melampau dan biadab. Kita ada adab. Kita rakyat Malaysia yang beradab.

“Perkataan yang digunakan itu adalah perkataan yang tidak bertamadun. Jadi, biar rakyat Malaysia menilai, itukah seorang pemimpin?,” soalnya.+

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program perasmian Mural Pencegahan Rasuah yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Bangunan SPRM sempena Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar ‘17) di sini hari ini.

Dzulkifli mengulas kenyataan Kit Siang yang membidasnya berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Kit Siang mendakwa, Dzulkifli harus menyedari bahawa jika beliau bertindak seperti monyet yang mempunyai mata tetapi tidak melihat, ada telinga tetapi tidak mendengar dan mulut tetapi tidak berbicara mengenai skandal 1MDB, beliau akan menjadikan SPRM sebagai agensi anti-rasuah kleptokratik pertama di dunia. - UTUSAN ONLINE