Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, SPRM tidak berada pada kedudukan terdesak sehingga perlu ditubuhkan jabatan baharu yang bidang tugasnya dilihat bertindih de­ngan peranan yang dimainkan suruhanjaya berkenaan selama ini.

Malah, beliau sebaliknya me­nyarankan Paul Low supaya memperjuangkan penambahbai­kan terhadap SPRM termasuk menambah anggota dan aset memandangkan tiada peruntukan kepada suruhanjaya berkenaan bagi tujuan tersebut.

“Siapa Menteri ini? Bagaimana JITN mahu kawal siasatan yang mahu dilakukan SPRM?

“Kita mahu SPRM harus bebas, jadi kenapa isu ini ditimbulkan? Kalau itu antara alasan mahu tubuh JITN (transformasi), saya rasa mahu mengganggu kebebasan SPRM.

“Kenapa saya harus lapor kepada JITN dan JITN pula nak memantau kerja-kerja kami di SPRM?” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas penubuhan SPRM peringkat Pulau Pinang yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Balik Pulau, di sini hari ini.

Paul Low sebelum ini mencadangkan penubuhan JITN sebagai salah satu usaha menerajui transformasi perubahan bagi membina kapasiti institusi terutama dalam kalangan penjawat awam namun ditolak SPRM kerana disifatkan bertindih dengan peranan suruhanjaya berkenaan.

Dalam pada itu, Dzulkifli menegaskan, pihaknya serius membantah penubuhan JITN dan mendesak kerajaan mengkaji semula cadangan berkenaan.

Katanya, penubuhan JITN se­kiranya diteruskan disifatkan satu pembaziran apatah lagi dalam keadaan banyak agensi kerajaan yang dipotong peruntukan ketika ini.

“Sepatutnya bajet yang ada digunakan untuk lihat balik bagaimana boleh perkukuhkan jabatan sedia ada seperti skim perkhidmatan awam termasuk gaji terutama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kebajikan pegawainya,” kata beliau.