Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya melihat tiada keperluan untuk jabatan baharu itu ditubuhkan yang mana mempunyai peranan seperti SPRM, Institut Integriti Malaysia,  Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

"Saya rasa tidak perlu (menubuhkan JITN) kerana apabila menubuhkan jabatan baharu akan melibatkan penambahan staf dan bajet sedangkan kita ada pelbagai agensi sedia ada seperti SPRM, Suhakam, Institut Integriti, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.

"Saya tidak nampak keperluan baharu untuk diwujudkan JITN... apa yang sepatutnya dilakukan adalah menambahbaik dan memperkukuh agensi-agensi sedia ada dari sudut perundangan dan keanggotaan.

"Malahan, kalau mahu dilihat secara betul isu ini, kerajaan seharusnya melihat dari sudut kebajikan terutama agensi penguat kuasa," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah Agensi Awam dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kelulusan kabinet pada bulan lalu menaiktaraf Bahagian Integriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai jabatan penuh yang dikenali sebagai JITN. - UTUSAN ONLINE