Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, kempen baharu dengan slogan ‘Anda Hulur, Kami Lapor’ yang dilancarkan serentak di seluruh negara itu turut mengingatkan orang ramai bahawa bukan sahaja penerima, malah pemberi rasuah juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Menurutnya, kempen tersebut yang lebih memfokuskan penjawat awam adalah selari dengan kewujudan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) pada tahun lalu yang mengajak orang ramai memerangi rasuah bersama SPRM.

“Dengan terlaksana­nya Gerah dan Gempur, secara tidak langsung menyempurnakan kempen yang merangkumi orang awam dan penjawat awam. Ini membuktikan SPRM tidak boleh bergerak sendirian dan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing supaya negara ini mampu bebas daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

“Bagi memastikan keberkesa­nan kempen ini juga, kita akan men­yasarkan tiga kumpulan iaitu penjawat awam yang terlibat dalam tugas penguatkuasaan, pe­rolehan dan pelesenan. Kita mahu mendidik penjawat awam supaya berani mengatakan tidak kepada pemberi rasuah dan melaporkan supaya tindakan di bawah Akta SPRM 2009 dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sebelum merasmikan Kempen Gempur sempena Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) Siri 2/2018 di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

Dzulkifli memaklumkan, peng­iktirafan dan ganjaran juga akan diberikan kepada pelapor rasuah sebagai galakan kepada penjawat awam untuk menolak rasuah dan melaporkan jenayah itu kepada SPRM.

Katanya, inisiatif berkenaan selari dengan surat dikeluarkan pejabat Ketua Setiausaha Negara pada tahun 2011 bertajuk Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian Atau Penerimaan Ra­suah.

“Sehingga 31 Disember tahun lalu, seramai 267 penjawat awam telah menerima insentif berjumlah RM491,385 kerana telah mela­porkan perlakuan rasuah kepada SPRM,” ujarnya.