Dzulkifli Ahmad

Suruhanjaya itu dalam satu kenya­taannya berkata, pihaknya dan EAIC te­lah mengadakan pertemuan bagi membincangkan kerjasama yang tertumpu kepada perkongsian maklumat, kepakaran, teknologi dan kajian masing-ma­sing sebagai medium jalinan kerjasama strategik.

“Pertemuan bersempena lawatan kerja EAIC ke SPRM itu diadakan di ibu pejabat SPRM di sini semalam. Dalam pertemuan itu SPRM diketuai oleh Ketua Pesuruhjaya, Datuk Dzulkif­li Ahmad manakala delegasi EAIC diketuai oleh Pengeru­sinya, Datuk Yaacob Md. Sam.

“Jawatankuasa bersama ini diwujudkan khusus untuk memerangi gejala rasuah, salah guna kuasa serta salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota agensi-agensi penguatkuasaan khususnya 21 agensi di bawah seliaan EAIC,” katanya dalam satu kenya­taannya di sini hari ini.

Menurut suruhanjaya itu lagi, kedua-dua pihak juga telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan operasi bersama pada masa akan datang agar isu-isu yang melibatkan bidang kuasa masing-masing akan dapat ditangani secara lebih berkesan dan menyeluruh.

“Kerjasama ini juga sekali gus mampu memberi peluang kepada SPRM bagi merealisasikan matlamatnya untuk membersihkan per­khidmatan awam daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam tempoh tiga tahun iaitu menjelang tahun 2020,” katanya.

Dalam pada itu, SPRM dan EAIC juga berharap inisiatif itu akan menghantar mesej yang jelas kepada masyarakat bahawa kedua-dua pihak serius dalam memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa khususnya dalam kalangan pegawai dan anggota penguat kuasa.