Peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, dalam tulisan bertajuk 'Bagaimana Nga Kor Ming membenarkan Menteri Besar Perak mengeluarkan Koon dari Majlis Penasihat' yang sudah dipadamkan tersebut, Yew Yin mengakui telah memberi sumbangan sebanyak RM300,000 kepada Kor Ming.

“Pemberian wang tersebut adalah sebagai balasan kepada janji Pakatan Harapan Perak untuk melantik Koon Yew sebagai penasihat ekonomi negeri Perak dan beliau kecewa apabila akhirnya tidak dilantik ke jawatan tersebut.

“Selepas memadamkan artikel terbabit, Yew Yin kemudiannya menulis artikel baharu bertajuk 'Permohonan maaf Koon kepada Nga Kor Ming' pada 6 November. Namun dalam tulisan baharu tersebut beliau tidak menafikan isi kandungan artikel pertama,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Khairul turut meminta suruhanjaya tersebut menyiasat Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu susulan artikel pada 2 November di blog yang sama bertajuk 'Sultan Perak tidak berhak menghalang pelantikan saya'.

Dalam artikel terbabit, Yew Yin turut mengaku menyumbang ratusan ribu ringgit kepada parti-parti dalam Pakatan Harapan sebagai balasan jawatan penasihat ekonomi negeri Perak yang dijanjikan kepadanya. - UTUSAN ONLINE