Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamsun Baharin Mohd. Jamil berkata, statistik itu menuntut fenomena tersebut perlu diberikan perhatian serius kera­na belia adalah tonggak negara.

“SPRM mengesan kes rasuah yang melibatkan belia meningkat dalam tempoh tiga tahun ini kerana sikap anak muda yang gemar dengan gaya hidup mewah termasuk mahu memiliki kereta berjenama sehingga berharga ratusan ribu ringgit sedangkan di luar kemampuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Dewan Kecemerlangan, Kampus Tetap Unimap di Pauh Putra dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Pengarah SPRM Perlis, Yaacop Angah.

Unimap merupakan universiti awam kedua selepas Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) serta jabatan keempat di Perlis melakukan IBR.

Shamsun Baharin berkata, statistik SPRM juga mendapati 70 kertas siasatan yang dibuka berhubung rasuah adalah melibatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari 2014 hingga Mac 2017.

“Daripada jumlah itu sebanyak 50 kertas siasatan telah dibuka pada tahun 2016,” katanya.

Katanya, sebanyak 23 tangkapan telah dilakukan dari 2014 hingga Mac 2017 dengan tahun 2016 sahaja melibatkan 18 tangkapan.