SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pertemuan itu telah berlangsung di kamar Hakim Hamid Sultan di Istana Kehakiman di sini bagi mendapatkan penjelasan berhubung afidavit yang dikeluarkan oleh beliau pada baru-baru ini.

“Dalam pertemuan tersebut, tiada sebarang rakaman percakapan diambil oleh SPRM dan beliau telah mencadangkan agar satu pasukan petugas khas ditubuhkan ke arah mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“SPRM akan mengkaji terlebih dahulu maklumat daripada afidavit tersebut dan akan meneruskan siasatan sekiranya mempunyai asas berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Akta SPRM 2009,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut SPRM lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berasas mengenai perkara yang dinyatakan dalam afidavit berkenaan diminta melaporkan dan menyalurkan maklumat terus kepada pejabat SPRM terdekat.

“Setiap pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010,” ujar kenyataan sama lagi.

Hakim Hamid Sultan sebelum ini membuat tuduhan bahawa terdapatnya campur tangan dalam kes-kes mahkamah termasuk melibatkan kes peguam terkenal, Karpal Singh yang didakwa atas tuduhan menghasut.

Tuduhan terhadap badan kehakiman negara dinyatakan dalam afidavit sokongan setebal 65 muka surat.

Dakwaan tersebut dibuat oleh Hakim Hamid Sultan dan dinyatakan dalam afidavit yang diikrarkan oleh anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sanggeet Kaur Deo.

Pada 14 Januari lalu, Sangeet yang juga peguam memfailkan saman itu bagi memohon perintah deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang bapanya dan juga kes guru tadika M. Indira Ghandi. - UTUSAN ONLINE