Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, peringatan itu membabitkan kenyataan berhubung kes penjualan tanah di mukim Ijok, Selangor dan projek mega terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu sepatutnya memberi ruang kepada SPRM untuk membuat siasatan secara bebas untuk setiap kes kerana semua pihak mahu perkara ini diselesaikan dengan lebih profesional dan SPRM juga tidak mahu ianya berlarutan.

“Sebagai contoh, sebelum ini Mohamed Azmin mendakwa SPRM menyerbu pejabatnya ber­kaitan isu penjualan tanah milik kerajaan negeri seluas kira-kira 880 hektar di mukim Ijok kepada sebuah syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion.

“Saya ingin tegaskan, SPRM tidak pernah serbu pejabat Menteri Besar untuk kes tersebut, mungkin Mohamed Azmin bermimpi di siang hari,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pelancaran Gerakan Wanita Anti Rasuah (G-WAR) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin.

Menurut Dzulkifli, untuk kes penjualan tanah di mukim Ijok, SPRM hanya menyerbu lima syarikat iaitu empat syarikat pemaju serta sebuah firma guaman dan merampas beberapa dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut namun, tiada sebarang tangkapan dibuat.

Mengulas mengenai G-WAR, Dzulkifli berkata, gerakan itu merupakan satu idea yang dicetuskan bagi membawa dan menggerakkan golongan wanita untuk bersama-sama SPRM dalam memerangi jenayah rasuah dan juga salah guna kuasa.

“Kita merupakan negara pertama yang mengerakkan wanita untuk memerangi rasuah. Golo­ngan ini boleh memainkan peranan dalam pelbagai aspek untuk memerangi rasuah termasuk memastikan pendapatan atau duit dibawa pulang bebas rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Sementara itu katanya, statistik SPRM bagi tempoh 2012 hingga Ja­nuari lalu menunjukkan sebanyak 700 kertas siasatan dibuka ke atas wanita, daripada jumlah itu seba­nyak 453 wanita ditahan bagi membantu siasatan dan 183 daripadanya dihadapkan ke mahkamah.

Dalam pada itu, Rohani berkata, pelancaran G-WAR merupakan usaha kerajaan bagi memastikan setiap wanita dapat bergerak se­iring de­ngan arus perubahan dan kehendak Revolusi Perindustrian 4.0 sekali gus memberi pendedahan yang berguna kepada golongan itu.

“Wanita perlu terus mempu­nyai daya saing untuk ke peringkat lebih tinggi termasuk bertindak sebagai penggerak utama kepada budaya membenci rasuah bermula dari keluarga sehingga kepada lapisan masyarakat. Wa­nita perlu berani untuk membuat laporan sekiranya berhadapan dengan rasuah,” katanya.