Lim Guan Eng

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, keputusan itu dibuat sebulat sua­ra oleh pengurusan tertingginya berikutan kenyataan fitnah Guan Eng yang menyifatkan tindakan terhadap Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh sebagai ‘penahanan haram oleh SPRM’.

Sehubungan itu, suruhanjaya itu akan mengemukakan keputusan yang telah dibuat kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

“Ingin juga dite­gaskan, SPRM menghormati hak serta kebebasan mana-mana pihak untuk mengkritik tetapi tidak akan sama sekali bertolak ansur jika mereka didapati mengeluarkan kenyataan fitnah khususnya berhubung siasatan yang sedang dijalankan dengan tujuan mencemarkan serta menjejaskan imej reputasi SPRM.

“SPRM tidak mempunyai kepentingan da­­lam mana-mana sia­satan dan akan me­nyiasat setiap kes tanpa mengambil kira jawatan, ideologi politik dan kedudukan individu yang disiasat itu,” kata suruhanjaya tersebut.

Guan Eng sebelum ini men­dakwa tindakan SPRM menahan Boon Poh bagi membantu siasatan berhubung kes kilang haram memproses serbuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sebagai ‘penahanan haram’.

Berikutan itu, SPRM telah memberi tempoh 48 jam kepada Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya itu untuk memohon maaf kerana kenyataan tersebut di­­­sifatkan serius dan berunsur fitnah.