Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, fasih dalam bahasa kebangsaan amat penting bagi membolehkan wakil rakyat mendengar dan membawa masalah rakyat dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat secara berkesan.

“Wakil rakyat haruslah fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan dan bukannya hanya menguasai bahasa Inggeris atau bahasa ibunda mereka sahaja.

“Tidak perlu penggubalan undang-undang pada skala besar, memadai SPR meletakkan syarat supaya ahli politik yang mahu bertanding perlu fasih bertutur dalam bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan pada Hari Kualiti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang turut dihadiri Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin di sini hari ini.

Baru-baru ini, pendakwah bebas, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah mempertikaikan kegagalan sesetengah wakil rakyat menguasai bahasa Melayu dengan baik walaupun sudah berpuluh tahun tinggal di negara ini.

Tambah Rais, jika kefasihan pertuturan dalam bahasa Melayu dapat disyaratkan oleh SPR, perkara tersebut akan menjadi satu panduan yang boleh dicontohi dalam usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu.

Mengulas mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini, Rais berkata, apa yang harus ditanamkan di dalam fikiran semua pihak ialah bahasa Melayu juga mampu memainkan peranan itu sebagaimana bahasa Inggeris.

“Kita harus memperbanyakkan penghasilan dan penerbitan buku teks dalam bahasa kebangsaan.

“Universiti juga harus memperbanyakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara bagi mengangkat martabatnya dan supaya kegemilangannya di Nusantara seperti satu ketika dahulu dapat dikembalikan,” katanya.