Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata, mesyuarat akan membincangkan mengenai tarikh-tarikh penting urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRK itu.

Selain itu, mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood itu akan turut membincangkan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS. - BERNAMA