Pengerusi SPNB, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, sejak program itu dilaksanakan, sebanyak 49,541 permohonan telah diluluskan dan 42,471 unit RMR1M telah berjaya disiapkan manakala 4,929 unit lagi dalam proses pembinaan.

‘‘Setiap unit rumah dibina melalui projek ini berharga RM65,000 dan penduduk dikehendaki membayar RM45,000 sahaja setelah ditolak subsidi RM20,000.

‘‘Reka bentuk RMR1M amat sesuai untuk didiami kerana ia dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan ruang makan manakala bayaran bulanan hanya RM270,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyampaian kunci rumah kepada lima penduduk sempena Program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di Kampung Baru Sungai Kob, Jalan Sungai Karangan, Padang Serai di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Mesra Sdn. Bhd., Wan Azlan Wan Ab. Rahman.

Abd. Latiff berkata, SPNB sentiasa prihatin dan akan meneruskan kerja-kerja membina RMR1M di seluruh negara termasuk di Kedah supaya penduduk di kawasan luar bandar mendapat pembelaan yang sewajarnya dan memastikan mereka tidak tersisih daripada arus pembangunan.

‘‘Sehingga ini, sebanyak 346 permohonan telah diterima dan 198 permohonan sudah diluluskan bagi projek di Kampung Baru Sungai Kob ini.

“Sebanyak 105 unit rumah telah disiapkan, 35 unit dalam proses pembinaan dan 58 permohonan dalam peringkat dokumen perjanjian manakala 75 permohonan lagi dalam senarai menunggu,’’ katanya.

Seorang penduduk, Mohd. Fauzi Mustaffa, 39, dari Kampung Baru Sungai Kob berkata, langkah diambil oleh SPNB bagi membina sebuah rumah yang menarik dan indah itu amat dialu-alukan.