Pengerusinya, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin berkata, pihaknya boleh membantu memberi panduan berkaitan pembinaan bangunan mengikut spesifikasi keselamatan yang ditetapkan.

“Sekiranya pusat-pusat tahfiz memerlukan panduan berkaitan aspek keselamatan bangunan, kita boleh mempertimbangkan.

“Kita akan meneliti perkara ini dalam membantu pusat-pusat tahfiz di seluruh negara dari segi khidmat nasihat atau kaunseling,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong Merdeka ‘Negaraku Sehati Sejiwa - Sihat dan Bersih peringkat negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir.

Dalam pada itu, Mohamed Hasnan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata, tahap kebersihan di bandar ini masih lagi berada pada tahap yang tidak memuaskan.

“Kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kot Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI) perlu mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan kerana banyak penyakit yang berpunca daripada sampah-sarap.

“Proses kutipan sampah juga di tahap tidak memuaskan dan MPKB-BRI perlu melakukan penambahbaikan dalam menjaga kebersihan bandar serta negeri ini,”katanya.

Tambah beliau, penyediaan tong sampah di kawasan bandar ini juga kurang sehingga berlaku timbunan sampah sarap dan berbau. - UTUSAN ONLINE