Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A. Latif Awang berkata, pencapaian itu sekali gus dapat mengekalkan momentum kecemerlangan dan meletakkan negeri ini dalam lima kelompok terbaik negara.

Beliau yakin sasaran itu akan dicapai hasil pendekatan berteraskan penekanan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) dalam memperkasakan bidang pendidikan.

“Sasaran tinggi ini adalah hasil sokongan padu serta kerjasama berterusan daripada kerajaan negeri menerusi pelbagai program termasuk motivasi untuk memastikan pelajar terbabit dipantau perkembangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Merealisasikan Kecemerlangan Menjelang SPM 2017 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Seramai 1,055 pelajar terpilih di seluruh negeri bersama ibu bapa dijemput menghadiri majlis berkenaan.

Yang turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin, Pengarah Unit TTB Che Mansor Che Kerma dan pakar motivasi, Datuk Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Peperiksaan SPM dijadualkan akan bermula pada 5 November hingga 6 Disember depan. - UTUSAN ONLINE