Muhammad Ridzwan Roslan, 18 , yang merupakan calon berkeperluan khas kelihatan sebak ketika diumumkan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang diumumkan di sekolahnya hari ini.

Pelajar istimewa kecacatan tangan paras siku itu memperoleh 4A+, 4A, 1A- dan 1B+ berkata, dia tidak sangka akan mendapat kecemerlangan ini kerana pada peperiksaan percubaan dulu dia memperoleh 6A sahaja.

Menurutnya, keputusan itu membuat dirinya bangkit untuk mengejar kejayaan dan dia sentiasa optimis dalam setiap perkara yang dilakukannya.

“Cara saya belajar sama macam setengah budak lain sahaja, tapi saya akan fokus 100 peratus ketika berada di dalam kelas subjek yang diajar oleh semua guru.

“Saya juga akan terus tanya guru jika kurang faham sesuatu topik,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Pengkalan Chepa 2 di sini hari ini.

Muhammad Ridzwan yang kudung sejak lahir berkata, dia mengulang kaji pelajaran hampir tiga jam sehari bersama rakan di sekolah setiap hari selepas waktu persekolahan.

“Di sam­ping memberi sepenuh tumpuan dalam kelas, saya juga akan membuat belajar secara berkumpul bersama beberapa rakan lain.

“Di rumah pula, saya akan belajar dalam satu jam sehari sahaja, sekadar untuk memahami dengan lebih tepat lagi, “ ujarnya.

Tambah Muhammad Ridzwan yang merupakan anak sulong dari empat beradik itu, dia berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sementara itu, Guru kelas Ridzwan,Noor Hasimah Ab Rahman, berkata, anak didiknya itu merupakan pelajar yang sangat rajin dan sentiasa fokus di dalam. kelas.

“Dia juga merupakan sumber rujukan bagi pelajar lain dalam belajar berkumpulan. Saya amat bangga dengan kejayaannya yang memberi inspirasi kepada pelajar lain di sekolah ini, “ ujarnya. - UTUSAN ONLINE