Menurut Muhammad Zabir, tahajud diselangi ulangkaji pelajaran setiap awal pagi menjadi amalan sejak memasuki SAS dan kaedah berkenaan membuatkan dirinya lebih tenang dan mudah untuk mengikuti kelas harian bagi setiap mata pelajaran.

“Setiap hari saya akan bangun pada pukul 5 pagi dan menunaikan solat tahajud. Selepas itu saya akan ulangkaji pelajaran sambil menunggu masuknya waktu solat Subuh. Selepas solat Subuh saya akan menyambung semula ulangkaji.

“Kejayaan ini amat bermakna buat saya kerana ini adalah harapan dan sasaran yang telah ditetapkan, memang saya sasarkan untuk dapat 10A+. Alhamdulillah, saya dapat banggakan ayah dan ibu saya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Muhammad Zabir yang merupakan anak kepada doktor pakar mata di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah berkata, beliau selepas ini merancang melanjutkan pengajian ke peringkat A-Level sebelum menyambung dalam bidang sains aktuari.

Sementara itu, Aqif Farhan yang merupakan anak kepada pasangan doktor berkata, kejayaannya mendapat 10A+ tidak datang dengan mudah kerana beliau perlu berusaha dan sentiasa berjumpa dengan guru untuk maendapatkan maklumat tambahan.

“Amalan tahajud yang dilakukan setiap pagi juga amat membantu saya untuk lebih tenang bagi mengulangkaji dengan berkesan. Di kelas, saya sentiasa berjumpa dengan guru, buat apa hendak malu berjumpa guru jika kita mahu berjaya.

“Biasanya saya jumpa guru untuk minta info atau maklumat tambahan mengenai apa yang diajar di kelas dan selepas itu saya akan balik untuk ulangkaji. Tiada rahsia untuk saya mudah faham apa yang guru ajar dan ingat segala ulangkaji,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau berhasrat untuk meneruskan legasinya ibu dan ayah untuk menjadi pakar dalam bidang perubatan dengan melanjutkan pengajian di Royal College of Surgeon di Ireland (RCSI).

“Ayah merupakan doktor di Prince Court Medical Centre (PCMC), manakala ibu pula doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Terima kasih atas segala dorongan dan sokongan sehingga saya berjaya mendapat keputusan cemerlang hari ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE