Selain itu, banyak faktor yang menghalang golongan belia memiliki aset tersebut seawal usia, antaranya kesukaran mendapatkan pinjaman berikutan gaji yang rendah.

Rata-rata, golongan itu terpaksa menyewa terutamanya ketika bujang, malah ada antaranya terpaksa terus-menerus menyewa biarpun telah berumahtangga.

Hal tersebut diakui penasihat undang-undang sebuah syarikat swasta, Mohamed Syafiq Mohamed Azhar, 26, bahawa ramai dalam kalangan rakannya juga belum mampu memiliki aset penting tersebut.

Mohamed Syafiq bernasib baik dan mampu menarik nafas lega apabila usaha kerajaan menerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) khusus untuk pembeli kediaman membantunya memiliki rumah idaman.

Jelasnya, skim pembiayaan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan empat bank tempatan iaitu Malayan Banking Bhd. (Maybank), CIMB Bhd. (CIMB), RHB Bank Bhd. (RHB) dan AmBank (M) Bhd. (AmBank) merupakan inisiatif terbaik bagi membantu golongan muda membeli rumah PR1MA.

“Pada asalnya saya hanya mencuba nasib dan tidak terfikir untuk membeli rumah seawal usia begini kerana faktor gaji serta komitmen lain, pun begitu saya mencuba skim yang ditawarkan PR1MA dan Alhamdulillah tidak sangka berjaya.

“Saya juga tidak menyangka pada usia yang baharu menginjak 26 tahun telah berpeluang memiliki kediaman sendiri,” katanya ketika ditemui di PR1MA @ Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada peringkat awal permohonan, Mohamed Syafiq ragu-ragu untuk meneruskan niatnya bagi memiliki rumah PR1MA kerana sedar akan kedudukan kewangan yang tidak begitu stabil kerana baru setahun bekerja.

Walau bagaimanapun, setelah menerima nasihat daripada ahli keluarga bahawa tidak rugi untuk memiliki aset berbentuk rumah pada usia muda akhirnya dia meneruskan permohonan tersebut.

Mohamed Syafiq menceritakan, biarpun ada ditawarkan SPEF namun setiap bank panel yang dilantik PR1MA memiliki syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

Awal permohonan untuk mendapat pinjaman bagi rumahnya yang bernilai RM350,000 tidak diluluskan oleh bank pertama berikutan komitmen bulanan yang agak tinggi.

“Saya memilih bank pertama ini kerana memiliki akaun bersamanya namun permohonan pinjaman saya tidak diluluskan atas faktor-faktor tertentu.

“Lalu saya mencuba sebuah bank panel PR1MA menerusi skim yang sama iaitu pembiayaan berperingkat di mana dalam tempoh lima tahun pertama hanya faedah sahaja yang perlu dibayar,” katanya.

Jelas Mohamed Syafiq, pembayaran bagi jumlah pokok hanya dibuat pada tahun ke enam sehingga pembayaran pinjaman selesai.

Walaupun terpaksa membayar ansuran bulanan yang berbeza pada awalnya, namun Mohamed Syafiq bersyukur menerusi kaedah tersebut pinjaman perumahannya diluluskan.

“Kaedah pembayaran yang fleksibel ini amat membantu kerana selepas lima tahun bekerja pastinya gaji saya akan meningkat dan ansuran bulanan bagi tempoh selepas itu tidak lagi menjadi masalah,” katanya.

SPEF diperkenalkan khusus untuk pembeli kediaman PR1MA selain membolehkan pembeli yang layak membayar ansuran bulanan pinjaman rumah yang lebih rendah daripada pinjaman biasa.

Mohamed Syafiq mengakui jika menerusi proses pinjaman biasa dibuat, membeli rumah dengan nilai sedemikian pasti hanya tinggal angan-angan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, SPEF sememangnya dikhaskan untuk membantu menangani masalah pinjaman perumahan bagi pembeli yang layak.

“Secara spesifik, SPEF membuka peluang kepada rakyat Malaysia mendapat pinjaman yang lebih besar berbanding pinjaman biasa.

“Skim ini juga lebih bersifat enabler (membolehkan) dan kedua, ia bertujuan meringankan beban peribadi peminjam menerusi program ansuran bulanan pada kadar yang munasabah,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengapakah memilih PR1MA @ Alam Damai sebagai kediaman impian, Mohamed Syafiq berkata, lokasi amat penting baginya dan kawasan perumahan tersebut hampir dengan ibu kota serta tempat kerjanya di Kajang, Selangor.

Ditambah dengan keadaan trafik yang tidak begitu sesak, semua faktor tersebut menjadi suntikan semangat untuk dia ke tempat bekerja setiap hari.

“Alam Damai memiliki persekitaran yang aman dan saya merasakan amat selesa berada di sini, sebelum ini saya tinggal bersama ibu saudara di Seri Kembangan, Selangor,” katanya.

Dikelilingi kehijauan, lokasi yang berbukit PR1MA @ Alam Damai menawarkan empat jenis unit apartmen bermula A1: 935 kaki persegi (kps) yang menempatkan tiga bilik tidur, dua bilik air dan unit A2: 1,048 kps dengan tiga bilik tidur, dua bilik air.

Unit A3 pula seluas 995 kps, tiga bilik tidur, dua bilik air dan A4: 662 kps, satu bilik tidur, satu bilik utiliti dan satu bilik air.

Selain itu, projek perumahan tersebut juga menawarkan pelbagai kemudahan kepada pemilik-pemilik unit apartmen tersebut seperti dewan komuniti, taska, tadika, surau, taman permainan, gimnasium luar dan dalam bangunan serta tempat letak kereta yang mencukupi.

Berdekatan dengan pelbagai lebuh raya seperti Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2), Lebuh Raya Kajang Silk (SILK) dan Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat menjadikan lokasi perumahan itu amat strategik.

Terletak berhampiran ibu kota, PR1MA @ Alam Damai juga dikelilingi pelbagai infrastruktur dan kemudahan sosial seperti pusat beli-belah, masjid, kedai-kedai serbaguna, hospital, sekolah rendah dan menengah selain Taman Rekreasi Alam Damai yang terletak hanya 1.3 kilometer (km) dari perumahan itu.

Dilengkapi ciri-ciri keselamatan terkini seperti sistem kamera litar tertutup (CCTV) ditempat letak kereta, lobi dan menerapkan konsep berpagar serta berpengawal 24 jam, segala kelebihan tersebut adalah bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penghuninya sentiasa terjamin.

PR1MA ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 yang berperanan untuk merancang, membangun, membina dan menawarkan perumahan berkualiti tinggi berkonsepkan gaya hidup moden bagi penduduk bandar berpendapatan pertengahan.

Kediaman PR1MA yang terletak di dalam kawasan berkomuniti mempunyai pelbagai jenis dan saiz berharga antara RM100,000 hingga RM400,000.

Kediaman PR1MA berada di lokasi-lokasi yang strategik di seluruh negara dan ditawarkan kepada rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 hingga RM15,000.

Antara jenis kediaman yang disediakan oleh PR1MA ialah teres satu tingkat, teres satu setengah tingkat, apartmen, kluster bandar, teres dua tingkat dan semi-D.

Ketika ini terdapat 45 projek kediaman PR1MA dibuka untuk jualan di seluruh negara yang membabitkan pembinaan 140,000 unit dengan 15,510 unit telah siap dibina. Sehingga Mac lalu, sebanyak 268,537 unit kediaman PR1MA telah diluluskan oleh anggota perbadanannya.