Program berteraskan kebajikan, khidmat bakti itu antara lain diisi dengan gerak kerja gotong-royong membersih dan menbaik pulih prasarana di samping menyediakan perkhidmatan kaunter pelbagai jabatan untuk kemudahan penduduk berurusan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Seri Zoal Azha Yusof berkata, edisi Terengganu turut melibatkan angota SPAVOL daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) dan Kolej Universiti Bestari (UCB) bersama penduduk Kampung Bukit Grebar.

“SPAVOL merupakan gabungan sukarelawan warga SPA dan ahli bersekutu yang terdiri daripada orang awam termasuk pelajar untuk menjalankan kerja-kerja membantu masyarakat yang memerlukan.

“Di samping menjalinkan hubungan yang baik antara warga SPA dengan masyarakat, ini turut beri ruang untuk menyebar luas maklumat yang tepat dan betul berkaitan dasar kerajaan,” ujarnya ketika menutup program itu hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee; Pegawai Daerah, Rosdi Awang; Timbalan Setiausaha (Pengambilan) SPA, Ruziah Shafei dan Presiden SPAVOL, Raja Adnan Raja Ibrahim.

SPAVOL dilancarkan secara rasminya oleh Pengerusi SPA, Tan Sri Arpah Abdul Razak yang juga penaung pertubuhan itu pada Mei 2017 di Pulau Pinang dengan jumlah sukarelawan kini mencecah lebih 100,000. - UTUSAN ONLINE