Pengerusinya, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar berkata, pindaan itu penting bagi memastikan penyedia perkhidmatan sistem e-panggilan mematuhi segala undang-undang seperti mana syarat yang perlu dilalui pemandu teksi.

Katanya, mengikut perancangan, pindaan terhadap akta itu dijangka akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat sesi Mac atau April depan.

“Buat masa ini, akta ber­kenaan dalam proses penelitian praperundangan oleh Jabatan Peguam Negara. Kabinet telah bersetuju supaya perkhidmatan e-panggilan diguna pakai namun undang-undang itu masih belum ada.

“Apabila dipinda dan diluluskan kelak, e-panggilan nanti perlu beroperasi dengan tertakluk kepada peruntukan serta seliaan undang-undang seperti perkhidmatan sedia ada.

“Kita mengambil kira pandang­an semua agensi berkaitan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas dan Induksi Pegawai Penguat Kuasa SPAD Siri 1/2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pe­ngurus Besar Kanan Bahagian ­Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Azharuddin Mat Sah.

Dalam majlis itu, seramai 41 anggota penguat kuasa SPAD te­lah ditauliahkan.

Sementara itu, Che Hasni berkata, operasi dan penguatkuasaan SPAD menjelang Tahun Baharu Cina akan diperhebatkan bagi memastikan pengusaha peng­angkutan awam mematuhi semua peraturan selain mengekang berlakunya kemalangan di jalan raya.

“Operasi akan bermula esok sehingga 1 Februari termasuk penugasan anggota selama 24 jam bermula 27 sehingga 5 Februari depan.

“Anggota akan ditempatkan di beberapa kawasan terma­suklah di terminal bas, lapangan terbang, pusat bandar serta di lebuh raya utama negara,” katanya.