JOSEPH ENTULU

Menteri di Ja­batan Perdana Men­­teri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, perkara itu dicapai ekoran kejayaan pelaksanaan sistem peperiksaan secara dalam talian oleh SPA dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bermula pada 30 April lalu.

Kata beliau, selain daripada itu, SPA kini menetapkan segala maklumat permohonan pekerjaan yang diisi pemohon secara dalam talian adalah sah selama lima tahun.

“Justeru, pemohon tidak perleu lagi mengisi borang untuk permohonan pekerjaan lain kerana segala maklumat diisi itu disimpan JPA selama lima tahun. Ini memudahkan penduduk luar bandar yang berhadapan dengan masalah Internt.

“Dari segi tempoh proses permohonan kini juga lebih cepat kerana ada antara kes, pemohon hadir temuduga pada waktu pagi dan sebelah petangnya ditawarkan surat pekerjaan,” kata beliau dalam sidang akhbar sempena Karnival Kerjaya dan Hari Mesra Pelanggan anjuran SPA yang dihadiri 1,000 orang di sini hari ini.

Program yang pertama kali dianjurkan di nege­ri ini bertujuan untuk memberi pe­luang kepada pe­gawai kanan jabatan tersebut berinteraksi dengan masyarakat setempat, selain menyampaikan maklumat terkini termasuk peluang pekerjaan dan dasar kerajaan.

Antara program yang diadakan itu ialah pameran kerjaya, pemeriksaan kesihatan, taklimat panduan dan tip memasu­ki SPA.

Yang turut diadakan penyampaian surat tawaran lantikan kepada calon secara bersemuka iaitu bagi jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Pegawai Bomba dan Penyelamat, Pembantu Kesihatan Awam, Penolong Penguasa Kastam dan Penguasa Kastam.

Dalam pada itu, Joseph menggesa generasi muda supaya meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris kerana ini merupakan keperluan sekiranya mereka ingin memperoleh pekerjaan dengan lebih mudah.

“Kita perlu terima hakikat, bahasa Inggeris merupakan keperluan oleh bukan sahaja agensi swasta tetapi juga sebagai penjawat awam,” ujar beliau.