Menurut Pengurus Maktab 87, Khairoddin Ahmad, kejadian tersebut memberi banyak penga­laman kepada beliau dan petugas lain dalam mengendalikan kebajikan jemaah haji.

“Ketika latihan pengukuhan di tanah air lagi kami sudah diberikan pendedahan berkaitan risiko dan apa yang perlu dilakukan ketika berdepan kecemasan. Itu merupakan panduan yang ba­nyak manfaatnya,” katanya di sini.

Menurutnya, seorang daripada tujuh jemaah yang terkorban ialah dari maktab ber­kenaan yang jenazahnya hanya ditemukan tiga hari sebelum wukuf.

Katanya, pihak maktab juga perlu menenangkan isteri­nya dengan bantuan rakan-rakan sebilik wanita itu.

“Isteri jemaah berkenaan ak­hirnya dapat ditenangkan oleh rakan sebilik,” katanya.

Terdapat 12 maktab meliputi 18 bangunan penginapan di Mekah dengan setiap maktab me­nempatkan 3,000 jemaah.

Menurut Khairoddin, pengurus maktab merupakan orang pertama yang perlu memastikan keselesaan jemaah sebelum mereka sampai dengan memastikan bilik penginapan menepati keperluan yang ditetapkan.

Katanya, bagi musim haji kali ini, pasukan pengurusan Maktab 87 dianggotai 11 petugas terma­suk dua penolong pengurus, empat petugas haji, dua penasihat ibadat tanah suci (PIHTAS) dan dua pembantu petugas haji.

“Semua Pengurus Maktab sudah disediakan SOP untuk perkara penting dalam ibadat haji iaitu pergerakan ketika operasi Masyair iaitu hari wukuf di Arafah dan seterusnya ke Muzdalifah dan Mina.

Setakat ini katanya, seramai 1,900 jemaah penghuni Maktab 87 sudah tiba di Mekah daripada jumlah keseluruhan 2,932 penghuni.