Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya hari ini telah melancarkan buku Garis Panduan Autisme dan inisiatif tersebut diambil susulan tangkapan seorang lelaki autisme kerana didakwa meraba wanita di Su­bang Jaya tahun lalu yang mendapat reaksi negatif orang ramai.

“Untuk mengatasi masalah ini agar tidak berulang, saya arahkan satu jawatankuasa ditubuhkan berkaitan SOP baharu.

“Jawatankuasa itu mengambil kira-kira enam bulan untuk merangka SOP berkenaan termasuk bengkel sebelum me­rasmikan buku hari ini,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas sambutan Hari Peringatan Polis Ke-212 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Fuzi memberitahu, dua pusat austisme akan dibangunkan di Pulapol Kuala Lumpur dan di Maktab PDRM di Cheras.

“Proses pembinaan akan dilakukan malah kita juga mendapatkan nasihat pakar daripada universiti tempatan berhubung perkara tersebut. Selain itu, kita juga ambil perhatian berhubung 484 anak warga PDRM yang menghidap autisme di seluruh negara,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Fuzi memaklumkan, kertas siasatan berhubung kekecohan di hadapan Universiti Malaya di sini, Jumaat lalu akan dihantar ke pejabat Peguam Negara, esok.

“Kita sudah merakam 26 ke­terangan daripada pihak yang berkaitan. Kita juga me­ne­rima 11 laporan polis ber­kaitan kejadian itu. Kertas siasatan akan dihantar ke esok dan kita tunggu arahan selanjutnya,” tambahnya.

Jumaat lalu, media mela­porkan berlaku kekecohan di sebuah restoran di hadapan Universiti Malaya di sini ketika program sembang santai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diadakan.

Kekecohan berlaku apabila enam penuntut membuat provokasi ketika program dijalankan sambil memegang poster tertera Najib Tak Malu dan Pulangkan Duit Rakyat selain sebuah poster karikatur badut yang menyerupai Najib.