Usahawan songkok, Husein Salleh, 58, yang sudah mula menceburkan diri dalam bidang pembuatan songkok sejak tahun 2000 itu menganggap rezeki­nya semakin melimpah-limpah menjelang lebaran.

“Permintaan songkok mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai kaum bagi memadankannya dengan baju Melayu.

“Setiap tahun saya tidak menang tangan menerima tempahan songkok secara dalam talian untuk memastikan mereka dapat menyambut perayaan dengan songkok buatan saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Promosi Warna-Warni Aidilfitri 2018 di Kompleks Kraf, Jalan Conlay di sini, hari ini.

Namun, uniknya, pada tahun ini, Husein yang merupakan penerima Anugerah Produk Reka Baharu 2017 itu menghasilkan songkok bersulam tanjak iaitu hasil idea bersama pereka dari Pusat Kraftangan Malaysia bagi mencari kelainan.

“Saya mahu menampilkan kelainan kepada peminat songkok, maka, kehadiran motif corak bersulam yang membalut songkok tersebut seolah-olah memakai tanjak menarik pelanggan yang berkunjung ke Kompleks Kraf.

“Songkok bersulam tanjak motif bunga kesidang ini memang paling baharu, jadi, sebanyak 30 songkok sudah terjual dengan pelbagai warna untuk perayaan kali ini,” katanya yang akan membuka semula tempahan songkok bersulam selepas sambutan Aidilfitri.

Jelasnya, sejak tahun 2000, beliau menghasilkan pelbagai jenis songkok berharga RM15 hingga RM165 yang telah mendapat sambutan luar biasa lebih 90 peratus jualannya sepanjang bulan Ramadan.

Beliau yang dibantu isterinya, Norhayati Saleh, 53, turut berkebolehan menjahit songkok mengikut permintaan pelanggan sepanjang tahun menerima tempahan melalui sosial Facebook; Songkok Paling Atas dan laman web http://www.palingatas.com.my/.

Dalam pada itu, Promosi Warna-Warni Aidilfitri 2018 yang diadakan di Kompleks Kraf, Jalan Conlay bertujuan untuk memeriahkan persiapan Hari Raya untuk mereka yang inginkan kelainan dan tampil unik pada 1 Syawal nanti.

Penganjuran program kali ke-14 bermula sejak 1 Jun hingga 10 Jun itu menampilkan konsep produk kraf tempatan dari seluruh negara seperti baju raya, aksesori, peralatan dan hiasan dalaman rumah.

Seramai 106 usahawan tempatan yang berdaftar de­ngan Kraftangan terlibat dalam program kali ini.

Di samping itu, pelbagai aktiviti lain kepada pengunjung seperti demonstrasi membuat kuih raya dan mencanting batik bagi membolehkan warga kota mengenali asal-usul kraf tempatan serta bazar Ramadan bagi mereka yang ingin berbuka puasa.

Pihak Kompleks Kraf juga ingin mengalu-alukan kehadiran orang ramai yang mahu mendapatkan produk kraf tempatan untuk hadir ke kompleks tersebut pada hari Jumaat hingga Ahad ini dari jam 9 pagi hingga 9 malam.