Ahmad Masrizal Muhammad
 

Untuk mengupas lebih lanjut mengenai himpunan yang akan berlangsung dari pukul 12 tengah hari hingga 4 petang itu, wartawan Utusan Malaysia, SYUKRI SHAARI menemubual Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, DATUK DR. AHMAD MASRIZAL
MUHAMMAD yang terlibat sebagai sekretariat perhimpunan.


UTUSAN: Boleh Datuk perjelaskan lebih lanjut mengenai himpunan ini.

AHMAD MASRIZAL: Himpunan ini adalah satu daripada kesinambungan gerakan dibuat kerajaan dalam konteks membantu memperjuangkan isu-isu kemanusiaan dan yang melibatkan soal ketidaksamarataan serta ketidakpuasan hati rakyat.

Meskipun Malaysia sebuah negara kecil, namun suara kita amat didengari dan disukai kebanyakan negara di dunia memandangkan kita tidak bersifat emosi apabila berhadapan dengan sesuatu isu, sebaliknya memilih pendekatan konstruktif.

Himpunan pada Jumaat ini melibatkan bukan hanya orang Islam, tetapi merentasi sempadan kaum, agama dan pendirian politik. Jadi marilah kita bersama-sama berhimpun di Masjid Putra sebagai mani­festasi rasa tidak puas hati terhadap keputusan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengisytihar Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Apakah yang Datuk maksudkan himpunan ini merentasi sempadan politik negara?

Di dalam masjid akan diadakan forum khas solidariti selamatkan Baitulmuqaddis yang menampilkan enam panel daripada pelbagai latar belakang politik seperti PKR, PAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Pas, malah pertubuhan bukan kerajaan meliputi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Ini memberikan satu warna baharu kepada negara bahawa fahaman politik kita tolak ke tepi apabila menyentuh isu kesucian atau tempat suci orang Islam. Segmen kedua di dataran luar masjid pula, kita akan mendengar ucapan daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diikuti pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Himpunan solidariti untuk Rohingya yang diadakan tahun lalu memberi impak yang besar sehingga ke peringkat antarabangsa. Adakah himpunan kali ini bakal memberi kesan serupa?

Pasti. Himpunan seperti ini bukan bersifat one-off tetapi akan berterusan, malah kami sedang merangka lagi program besar untuk memastikan kesinambungan Himpunan Putih pada Jumaat ini.

Tekanan kepada pihak AS dan Israel harus dibuat secara konsisten. Ini langkah konstruktif kerajaan, kita berjuang bukan menggunakan ‘mata pedang’ atau kaedah-kaedah ketenteraan, tetapi lebih kepada pendekatan bersifat intelektual dan keilmuan bagi memastikan agenda membela rakyat Palestin dapat dijayakan.

Berapa sasaran kehadiran Himpunan Putih ini?

Kami sasarkan 10,000 orang atau lebih, sebab itu kami anjurkan himpunan di kawasan dataran yang boleh dipenuhi ramai tanpa mengganggu orang awam.

Himpunan ini tidak dianjurkan di depan Kedutaan AS, tidak juga berhimpun di kawasan premis ke­rajaan AS atau sebagainya tetapi memilih lokasi yang suci dan bersih iaitu masjid. Sebab itu dipanggil Himpunan Putih.

Selain ucapan Presiden Pas dan Perdana Menteri, apakah acara kemuncak himpunan ini?

Kemuncaknya ialah kedua-dua Perdana Menteri dan Presiden Pas yang juga Naib Ketua Ke­satuan Ulama Islam Sedunia akan menurunkan tandatangan di atas kain rentang putih sebagai tanda protes terhadap keputusan AS.

Bagaimanapun, itu bukanlah penamat, sebaliknya permulaan kepada protes terhadap kerajaan AS dan Israel dengan lebih banyak tandatangan akan dikumpulkan daripada orang ramai di atas kain rentang putih itu sebagai manifestasi menzahirkan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia.