Walaupun kawasan tersebut berada dalam Zon Merah berikutan jaraknya dengan sungai berkenaan hanya kira-kira 500 meter, namun keadaan tersebut tidak menghalang penduduk setempat dan pekerja industri berhampiran untuk menunaikan kewajiban tersebut.

Dalam keadaan cuaca panas dan sekali-sekala berangin, dapat dilihat majoriti para jemaah tidak menggunakan penutup mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan serta keselamatan daripada terhidu udara yang dicemari sisa toksik, malah ada di antara mereka yang batuk dan selesema.

ORANG ramai menunaikan solat hajat selepas solat jumaat di Masjid Taman Pasir Putih berikutan pencem

ORANG ramai menunaikan solat hajat selepas solat jumaat di Masjid Taman Pasir Putih berikutan pencemaran bahan toksik Sungai Kim Kim di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE/ FARID JANUDIN

Sebelum memulakan kutbah Jumaat, imam masjid tersebut, Rooslan Ibrahim memberikan pesanan kepada jemaah untuk disampaikan kepada keluarga supaya sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, kurangkan aktiviti di luar rumah serta mematuhi sebarang arahan pihak berkuasa.

Selain itu semasa solat Jumaat turut diadakan bacaan doa qunut nazilah sebelum sujud pada rakaat kedua solat Jumaat yang sebelum ini jarang dilakukan di masjid tersebut kecuali apabila berlaku sesuatu peristiwa atau bencana.

Selepas solat Jumaat, kira-kira 200 jemaah melakukan solat hajat bertujuan memohon kepada Allah supaya menyelamatkan penduduk daripada pencemaran toksik selain meminta keampunan dan kerahmatan-Nya.

Rooslan ketika ditemui berkata, masjid itu sejak pencemaran Sungai Kim Kim berlaku pada Khamis lalu, hampir setiap malam melakukan solat hajat.

"Pada hari ini juga kita melakukan bacaan doa qunut nazilah yang biasanya dibaca umat Islam apabila berlaku perang, bencana, musibah, kebuluran dan sebagainya.

"Kita juga melakukan solat hajat agar penduduk Pasir Gudang dilindungi Allah daripada sebarang musibah dan bencana.

"Selain itu, umat Islam bukan sahaja perlu berdoa dan bertawakal untuk sihat sebaliknya perlu berikhtiar menjaga keselamatan masing-masing dengan menggunakan penutup mulut dan hidung atau kurangkan keluar rumah jika tidak perlu," katanya ketika ditemui Utusan Online sebentar tadi.

Rooslan berkata, apabila berlaku bencana alam sekitar seperti itu, barulah umat Islam sedar betapa besarnya nikmat menghirup udara yang bersih dan segar selama ini.

"Mungkin sebelum ini kita tidak sedar nikmat udara bersih yang Allah berikan percuma kepada kita selama ini. Umat Islam perlu banyak berdoa di samping berusaha menjaga kesihatan masing-masing," katanya.

Rumah ibadat itu yang pernah mendapat tempat ketiga kategori masjid dalam Anugerah Pertandingan Amalan Persekitaran Berkualiti Masjid dan Surau Peringkat Pasir Gudang 2014 terletak tidak sampai 1 kilometer dari lokasi pembuangan sisa toksik di sungai berkenaan.

Sementara itu di Masjid Taman Pasir Putih, kakitangan National Institute of Occupational, Safety and Health (NIOSH) mengedarkan topeng muka kepada orang ramai sebelum solat jumaat iaitu masjid paling hampir dengan sungai tersebut.

Selain itu, pihak NIOSH turut menggunakan alat pengesan gas bagi mengukur radiasi toksik di pekarangan Masjid Taman Pasir Putih semasa solat Jumaat. - UTUSAN ONLINE