Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, cadangan berkenaan dilihat relevan bagi mengelak penjawat awam memiliki jumlah pinjaman melebihi 60 peratus daripada baki gaji mereka.

“Kita mencadangkan supaya satu sahaja agensi yang dilantik untuk menyelaras permohonan pinjaman ini bagi mengelakkan berlakunya tekanan hutang dalam kakitangan awam yang teruk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Negeri Angkasa Pahang Zon 2 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi Temin di sini, hari ini.

Jumaat lalu, CUEPACS dilapor menyarankan Jabatan Akauntan Negara mewujudkan satu pangkalan data berpusat untuk menapis semua jenis permohonan pinjaman oleh penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, langkah itu perlu dilakukan sebelum Jabatan Akauntan Negara meneruskan hasrat untuk melaksanakan sekatan bayaran potongan gaji penjawat awam sehingga maksimum 60 peratus daripada jumlah gaji kasar menerusi sistem gaji berkomputer.

Menurut Abdul Fattah, Angkasa turut menawarkan diri untuk memberikan kemudahan bagi menyelaras permohonan pinjaman itu.

Katanya, Angkasa memiliki sistem kawalan bersepadu yang boleh membantu bukan sahaja kakitangan kerajaan malah pemohon pinjaman lain.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Angkasa juga mengalu-alukan cadangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi memudahkan penubuhan sesebuah koperasi dalam usaha menggalakkan lebih banyak koperasi berdaya saing di negara ini.

“Galakan ini selari dengan matlamat kerajaan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 16,000 koperasi ditubuhkan menjelang 2020.

“Sehingga kini, sebanyak 13,500 koperasi ditubuhkan di seluruh negara dengan keahliannya seramai lapan juta orang,” katanya. - UTUSAN ONLINE