Peniaga barangan cenderamata, Rahim Ibrahim, 54, menyifatkan ia langkah permulaan yang baik se­telah sekian lama Pulau Besar atau dikenali Pulau Hajat dicemari aktiviti khurafat yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Saya harap dengan adanya unit ini nanti, aktiviti menyembah kubur lama, pokok besar, batu besar dan sebagainya dapat dihentikan.

“Sebelum ini memang ada pe­ga­wai penguat kua­sa, namun me­reka tidak ting­gal di sini dan hanya datang sekali-sekala, menyebabkan­ pengamal ama­lan­ khurafat bebas melakukan ak­tiviti mereka,” katanya ketika di­te­mui di Pulau Besar baru-baru ini.

Dia yang me­ne­tap selama 10 ta­hun di pulau itu berkata, pen­duduk pulau telah jemu memberi na­sihat kepada pengamal ritual khu­rafat di situ.

“Kami ada juga membuat teguran, namun tidak mampu memberi nasihat kepada semua orang,” katanya.

Pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Zamri, 45, dari Kajang, Selangor berkata, penubuhan unit tersebut tepat pa­da masanya memandangkan bilangan pengunjung bukan Islam melakukan ritual di kubur Islam semakin bertambah sejak kebelakangan ini.

“Mereka tidak faham de­ngan hukum Islam dan kita tidak boleh menyalahkan golongan itu, tanggungjawab membuat teguran adalah daripada orang Islam sendiri. Saya harap dengan ada unit pe­nguat kuasa khas ini nanti, orang bukan Islam dapat memperoleh maklumat lanjut apa yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan (di kubur orang Islam),” katanya. – bernama

Zamri berkata, beliau kerap berkunjung ke Pulau Besar yang cantik bagi mencari ketenangan dan pada masa sama dapat menziarahi kubur pejuang ketika zaman kesultanan Melayu Melaka yang disemadikan di sini dan dikatakan keturunan Rasulullah SAW. – BERNAMA