Nadzim Johan

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan konsisten Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memburu serta melakukan audit terhadap pemilik syarikat terbabit diyakini berupaya menyelesaikan kemelut itu secepat mungkin.

Menurutnya, jabatan ber­kenaan harus merangka strategi dengan membuat penelitian terperinci terhadap urusan perniagaan syarikat ber­kenaan sekaligus mengenal pasti ‘ketempangan’ yang wujud dan seterusnya mengheret mereka ke muka pengadilan.

“Menerusi program audit yang dijalankan jabatan ber­kenaan selepas ini, kami percaya bahawa syarikat yang terlibat dalam penipuan cukai serta memanipulasi penyata cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tersebut tidak akan sesekali terlepas.

“Sebelum ini, semua syarikat yang liat melunaskan cukai itu hidup dalam ‘kebanggaan sendiri’. Mereka seakan menarik nafas lega kerana tidak perlu berhabis duit membayar cukai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Amarjit Singh Gill
Amarjit Singh Gill

Sementara itu, Setia­usaha Agung Persatuan Pengguna Malaysia (Maconas), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, tindakan segelintir pengusaha premis perniagaan terbabit mengelakkan cu­­­kai amatlah tidak wajar dan perkara itu perlu diaudit segera oleh pi­hak berwajib.

Beliau berkata, pe­lak­­­sanaan proses audit sebegini sudah lama dijalankan oleh pihak berkuasa, justeru mereka tidak seharusnya ingkar dan menganggap tindakan berkuasa se­perti JKDM dan LHDN melakukan proses audit itu sebagai satu bebanan kepada mereka.

“Kutipan cukai seumpama ini adalah untuk kemudahan rakyat pada masa akan datang. Mereka mungkin tidak mengecapi pembangunan yang dinamik sekiranya wujud ketirisan dalam kutipan hasil negara,” katanya.