Kejohanan kali ketujuh itu yang akan berlangsung dari 22 hingga 29 Oktober di Stadium Hoki Taman Daya mendapat tajaan paling besar daripada kerajaan negeri berjumlah RM500,000.

Semua tajaan itu diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam Majlis Pelancaran Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) kali ketujuh di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday merangkap Presiden Persatuan Hoki Johor serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Pihak lain yang menyumbang antaranya RTM dan Astaka Padu Sdn. Bhd. masing-masing sebanyak RM200,000 selain Yayasan Harmoni, Genting Highland, UM Land, Johor Corporation, JBB Builders (M) Sdn. Bhd., Tenaga Nasional Berhad dan SP Setia masing-masing RM100,000.

Begitu juga SAJ Holdings Sdn. Bhd., Iskandar Waterfront Sdn. Bhd., Berjaya Times Square dan Kumpulan BCB Berhad masing-masing RM50,000 manakala Global Tobacco Manufactures (International) Sdn. Bhd. pula sebanyak RM40,000.

Mohamed Khaled ketika berucap, menyifatkan pertandingan itu yang mendapat pernyetaan enam negara kini merupakan kejohanan yang menjadi satu mercu Johor di persada antarabangsa.

“Sejak diperkenalkan pada 2009, piala ini menerima pengiktirafan antarabangsa sekali gus melakarkannya sebagai satu kejohanan berprestij dalam takwim pertandingan hoki dunia.

“Saban tahun kita tidak pernah gagal menerima penyertaan dari pasukan-pasukan hebat dunia,” katanya. - UTUSAN ONLINE