Muhammad Zarif Haiqal Rohman, 18, yang muncul juara kategori menumbuk sambal belacan menerusi resepi Sambal Belacan Walnut Mangga pertama kali menyertai pertandingan memasak dan tidak menyangka berjaya menambat hati juri.

“Saya berani membuat sedikit perubahan pada resepi sambal belacan ini sebab pernah cuba membuatnya ketika di sekolah dan kawan-kawan yang merasa sambal itu memuji rasanya yang unik dan sedap,” katanya yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang kulinari di institusi pengajian tinggi (IPT) kelak.

Beliau menerima wang tunai RM500, hamper dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak dalam Karnival Hari Guru Kebangsaan 2017 di Padang A Angsana Mall Johor Bahru, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Pembangunan), Mansor Omar dan Pengarah FAMA negeri, Zainal Abidin Yang Razali.

Sementara itu, juara kategori gubahan buah-buahan, Nor Azliza Daud, 33, berkata, dia hanya menggunakan buah-buahan tempatan seperti buah melon manis, betik, limau, mangga dan jambu air dalam pertandingan tersebut.

Dalam pada itu, kategori memasak pula, VIP Group yang terdiri daripada dua guru dan dua murid sekolah tersebut diumumkan sebagai juara kerana ketiga-tiga hidangan mempunyai kombinasi rasa yang sepadan.

Mardhiah Zainal Abidin selaku ketua kumpulan memberitahu, nasi pilah ikan keli merupakan hidangan yang diilhamkan pada saat-saat terakhir selepas membuka kotak pihak penganjur.

Nor Azliza dan VIP Group masing-masing membawa pulang wang tunai RM200 dan RM500, hamper dan sijil penghargaan daripada penganjur.