Ketua projek, Muhammad Danish Aqil Addnin, 17, yang menfitatkan ia suatu pengalaman menyeronokkan berkata, kumpulan 20 pelajar yang terlibat dalam projek tersebut mengambil masa hampir sebulan untuk mencipta tiga produk untuk dipertandingkan, dan berbelanja tidak lebih dariapda RM100.

Menurutnya, idea tercetus berkait dengan rungutan dalam kalangan pelajar termasuk kolar baju sekolah yang mudah kelihatan berdaki atau kotor yang sukar dihilangkan.

Tiga produk yang dipertan­dingkan itu termasuklah Easy2 reach iaitu rak barang yang dipasang pada kabinet dapur yang dapat diturun dan dinaikkan.

Di samping itu projek Thi2­thin yang berfungsi sebagai pe­ngalas kotoran pakai buang pada kolar baju di sam­ping Air2channel iaitu alat untuk me­ngalihkan aliran angin yang dile­takkan di bawah kipas siling agar tidak statik.

“Produk Thi2thin memena­ngi hadiah perak manakala du­a lagi produk ciptaan kami masing-masing Easy2reach dan Air2channel memenangi hadiah gangsa.

“Kami bersaing dengan 20 pasukan sekolah-sekolah lain dari seluruh negara, namun pro­duk ciptaan kami yang mudah dan ringkas mendapat perhatian juri," katanya.

Guru penasihat projek, Ahmad Mahzam Ramli, 35, menyi­fatkan kejayaan pelajar SMKA Kuala Abang sebagai sesuatu yang amat membanggakan, apa­tah lagi belum pernah di­raih sebelum ini.

Katanya, kumpulan pelajar tersebut ternyata mempunyai kebolehan dan daya kreativiti sehingga berjaya me­nyiapkan tugasan dengan sempurna.

“Pelajar terlibat telah meng­­­gunakan daya fikir dan kreativiti mereka dengan menjadikan produk kitar semula se­per­ti kain reja, kayu kotak dan kertas dengan kos paling minimum,” ujar­nya.

Bagi Pengetua SMKA Kuala Abang, Mat Lazim Mamat pula berkata, kejayaan dalam pertan­dingan tersebut telah meletakkan sekolah tersebut sebaris de­ngan sekolah-sekolah ternama.

Selain itu, katanya, ia juga menjadi pembakar semangat dan meningkatkan motivasi untuk pe­lajar lain mengikut langkah rakan-rakan yang telah berjaya mengharumkan nama sekolah hingga peringkat kebangsaan.

“Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan o­leh guru, pelajar dan juga ibu bapa.

“Saya berharap program se­begini tidak terhenti di sini sa­haja, ia merupakan langkah per­tama kita untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya.