Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, Supiandi Yusof berkata, keyakinan pihaknya melanggan sisipan terbitan akhbar Utusan Malaysia itu adalah atas impak positif yang diterima semasa melanggan akhbar pendidikan, Tutor sebelum ini.

Pihaknya yakin dengan pelbagai pengisian yang padat dan terkini serta sisipan itu mampu memberi nilai tambah dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“Selepas meneliti kandungan sisipan Utusan Pelajar, kami percaya bahan yang disiarkan mampu membantu meningkatkan ilmu dan kemahiran berfikir pelajar, menepati keperluan KBAT.

“Sisipan ini juga berupaya menjadi bahan bantuan me­ngajar yang bersesuaian de­ngan kehendak sekolah, apatah lagi dilengkapi pelbagai subjek pembelajaran,” katanya dalam Majlis Penyerahan Replika Langganan Tahunan Utusan Pelajar 2017, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Pasir Gudang, Yunan Majid; Ketua Pemasaran Utusan Melayu (M) Bhd. Wilayah Selatan, Mohd. Asri Jantan dan Eksekutif Pemasaran Cawangan Johor Bahru, Romli Awang.

SMK Taman Nusa Damai yang merupakan sebuah sekolah kluster melanggan sebanyak 6,329 naskhah Utusan Pelajar bagi sesi persekolahan tahun ini.

Sementara itu, Mohd. Asri berkata, Utusan Pelajar berperanan sebagai pelengkap bagi modul pembelajaran di sekolah-sekolah seluruh negara.

“Utusan Pelajar adalah sisipan yang memberi penekanan terhadap kaedah pembelajaran alaf baharu, iaitu KBAT yang selari dengan falsafah pendidikan negara. Pengisian yang lebih lengkap, mendalam dan mencabar mampu membantu guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya sambil memberitahu antara segmen yang terdapat dalam sisipan 36 muka surat itu ialah Sains dan Inovasi, Ekonomi, Alam Sekitar, Agama dan Sivik, Keusahawanan, Santai Minda serta Gajet dan Teknologi.