Pengetua SMK Taman Maluri, Nur Elisa Tee Lee Hwa berkata, konsep ‘Satu’ dipilih bagi menggambarkan penyatuan secara muhibah antara pelbagai kaum sama ada Melayu, Cina, India atau etnik lain.

“Saya yakin pelajar memahami dengan jelas konsep atau makna perpaduan dan muhibah itu dan melalui pertandingan ini, kita dapat lihat sendiri bagaimana mereka boleh melahirkan persepsi atau kreativiti tentang konsep tersebut kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di sekolah­nya di sini hari ini.

Di bawah bimbingan Guru Cemerlang Geografi, Yong Guat Baby, sekolah ini membentuk pasukan yang dianggotai Muhammad Alif Najmi Ramlan, Muhammad Firdaus Noor Azman, Sofara Ashfia Tasnim Mohamad Zairy, S. Thiryaah, Jehru Samuel T. Enrique dan Siti Solihan Abdul Wahab.

Mereka akan bersaing dalam pertandingan tajaan Orando Holdings yang menawarkan empat pemenang untuk menerima hadiah tunai RM1,000 seorang pada setiap bulan dari Januari hingga Disember 2018.

Peserta perlu menghantar video pendek dua minit beserta keterangan tidak lebih 150 patah perkataan dalam bahasa Melayu ke laman www.muhibah.my.

Sementara itu, Muhammad Alif Najmi Ramlan, 17 berkata, semua orang sudah maklum berkaitan semangat muhibah dan perpaduan tetapi hakikatnya pengertian mengenainya berbeza antara satu sama lain.

“Dalam pertandingan ini, kami tampilkan versi pelajar SMK Taman Maluri yang ‘Satu’ kerana tidak ada perbezaan di sini,” katanya.

Pendapat ini disokong rakannya, Jehru yang memberitahu, muhibah sememangnya bukan perkara asing untuk warga SMK Taman Maluri.

“Kami sudah biasa bersama-sama, tidak kira apa jua kaum, justeru, kami sangat teruja bahkan sudah ada yang merangka idea untuk menghasilkan video pendek #muhibah,” katanya.