Mewakili Zon Selatan, SMK Sri Mersing menewaskan 25 sekolah lain yang turut bersaing mewakili zon masing-masing iaitu utara, tengah, timur, Sabah dan Sarawak.

Menerusi kemenangan tersebut, SMK Sri Mersing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, sijil dan trofi.

Sementara itu, naib johan dimenangi Sekolah Menengah­ Sains Kuching, Sarawak mana­kala tempat ketiga disandang oleh SMK Beaufort 3, Sabah, masing-masing menerima wang tunai RM2,000 dan RM1,000, sijil serta trofi.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Sumber Manusia Tabung Haji, Mohd. Hisham Harun yang turut menyempurnakan majlis perasmian penu­tup pertandingan yang memasuki tahun kedua penganjuran itu.

Yang hadir sama Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Jari­ngan Industri dan Masyarakat, UKM, Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah dan Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Prof. Datuk Dr. Norazah Mohd. Nordin.

Kelab TaHa STEM Innovation Challenge merupakan program intervensi pendidikan dalam bidang sains, teknologi, kejurute­raan dan matematik (STEM) untuk ahli Kelab Tabung Haji. (TaHa).

Pertandingan tersebut antara lain bertujuan menjadikan pelajar lebih inovatif, kreatif dan kompetetif dalam bidang STEM untuk bersaing dalam abad ke-21.

Wakil pelajar SMK Sri Mersing, Johor, Nursafiah Syahirah Razali, 14, kejayaan muncul johan keseluruhan dalam pertandingan tersebut sesuatu yang tidak disangka selepas kegagalan dalam beberapa pertandingan inovasi yang disertai sebelum ini.

“Rasa bangga, terharu dan gembira lebih-lebih lagi ada di antara kami pernah gagal dalam beberapa pertandingan sebelum ini.

“Kemenangan ini tentunya menjadi pembangkit semangat buat kami untuk meraih lebih kejayaan pada masa depan. Apa yang lebih penting pertan­dingan ini telah mengajar kami supaya sentiasa ada kemahuan untuk memajukan diri tanpa segan menuntut ilmu baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pasukan SMK Sri Mersing turut disertai oleh Nurin Wahyu Rushdan, 14; Ilham Bukhari Zulkarnai, 13 dan Nur Hanis Safiah Ab Manaf, 13.