Walaupun bidang pekerjaan yang diceburinya kini tidak berkait dengan jurusan pengajian, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Sains Malaysia (USM) itu tidak pernah merasa kecewa atau terkilan.

Sebaliknya Mohamad Aizat yang menganggap setiap kerjaya mempunyai kelebihan yang tersendiri berpuas hati dengan tawaran dan kepercayaan yang diberikan oleh majikannya.

“Saya tidak mahu menghabiskan masa dengan menganggur semata-mata untuk menunggu pekerjaan dalam bidang pengajian kerana saya sedar pasaran pekerjaan sekarang sangat mencabar.

“Saya juga tidak boleh terlalu memilih kerana jumlah graduan baharu dan yang menganggur sudah terlalu ramai di luar sana. Apatah lagi kebanyakan majikan sekarang lebih mengutamakan pekerja yang berpengalaman,” katanya.

Berkat kegigihan yang ditunjukkan sepanjang mengikuti latihan SL1M, dia diserap menjadi kakitangan di syarikat KAT Technologies Sdn. Bhd, iaitu syarikat penyelesaian teknologi maklumat dan telekomunikasi yang merupakan salah sebuah syarikat yang mengambil bahagian dalam Program Khazanah Nasional SL1M-GREEN.

Lebih menarik lagi, langkah pada hari pertama beliau sebagai kakitangan di syarikat berkenaan juga bermula dengan ganjaran yang setimpal melalui tawaran jawatan sebagai Pengurus Jualan.

“Ia bukan kenaikan kali pertama kerana sepanjang tujuh bulan menjalani latihan, saya pernah dinaikkan pangkat daripada Eksekutif Jualan kepada Pengurus Cawangan.

“Selepas diterima bekerja, saya ditawarkan jawatan Pengurus Jualan Serantu yang bertanggungjawab memantau operasi dua cawangan syarikat iaitu di Kajang dan Kota Damansara di Selangor,” katanya.

Mohamad Aizat berkata, antara pengalaman pa­ling berharga dan mencabar sepanjang mengikuti program Khazanah Nasio­nal SL1M-GREEN adalah ketika ditempatkan di Raub, Pahang selama tiga bulan.

“Saya bersyukur kerana mendapat kepercayaan daripada majikan untuk menguruskan jualan di cawangan luar daerah dan mewakili syarikat dalam mesyuarat bersama syarikat-syarikat yang ber­kaitan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, para graduan yang masih mencari pekerjaan seharusnya merebut peluang me­lalui SL1M walaupun ramai yang mempunyai tanggapan negatif ter­hadap program itu.

“Walaupun program ini tidak menjanjikan setiap pelatih dise­rap sebagai pekerja, kebanyakan syarikat tidak akan melepaskan individu yang berpotensi dan diyakini dapat menyumbang tenaga kepada syarikat.

“Peluang yang menanti gradu­an melalui program ini terletak pada bahu mereka sendiri. Sekiranya mereka mampu membuktikan yang terbaik, pasti syarikat akan memberi peluang termasuk mewujudkan jawatan baharu untuk ditawarkan,” katanya.