Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dah­lan berkata, usaha itu perlu diper­tingkatkan pada masa akan datang dengan menyelaraskan semua peluang pekerjaan yang dapat dipadankan dengan pelajar sebelum mereka tamat pengajian.

Menurutnya, langkah tersebut bertujuan memberi penekanan secara menyeluruh termasuk kepada pelajar yang masih dalam tempoh pengajian.

“Buat masa ini, SL1M hanya memberi fokus kepada semua graduan yang telah tamat belajar untuk mendapatkan pekerjaan masing-masing.

“Ini kerana SL1M hanya satu program Latihan untuk memberi pendedahan kepada graduan dengan dunia pekerjaan sebenar,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Temu Duga Terbuka SL1M di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D. Kamarudin D. Mudin dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya menyasarkan seramai 25,000 graduan menerima manfaat menerusi program tersebut sepanjang tahun ini.

Katanya, kerajaan akan terus melipatgandakan usaha untuk membantu semua graduan demi mendapat peluang pekerjaan yang sewajarnya sekali gus dapat memperbaiki kemahiran dan meningkatkan kebolehpasaran diri.

“Melalui program ini, sehingga Disember tahun lalu, lebih 140,000 golongan muda telah meneriman manfaat secara langsung dan juga tidak langsung.

“Kami berharap agar sasaran itu dapat dicapai berdasarkan kepada pengalaman saya bersama Program Temu Duga SL1M di beberapa tempat di seluruh negara yang pernah diadakan,” ujarnya.