Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, situasi itu menyebabkan penonton yang ke pawagam lebih cenderung memilih filem luar negara.

Beliau berkata, aspek penulisan skrip dan jalan cerita perlu diberikan perhatian serius oleh penggiat filem tanah air bagi mengelakkan penonton jemu.

Menurutnya, bagi menangani masalah tersebut, Finas akan me­ng­adakan bengkel untuk memperbaiki kelemahan itu.

“Saya baru sahaja dilantik sebagai Pengerusi Finas yang baharu dan matlamat utama saya adalah untuk merakyatkan filem tempatan, selepas ini saya akan pastikan filem tempatan mempunyai kedudukan tersendiri dalam kalangan peminat.

“Saya akan cuba membantu industri filem tempatan sedaya upaya saya, antara perancangan lain adalah dengan membawa filem tempatan ke peringkat bawahan untuk tontonan masyarakat umum,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Khusairi menerima surat pelantikan sebagai Pengerusi Finas yang baharu daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak berkuatkuasa 9 September lalu sehingga 8 September 2017.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr. Sharifah Zaharah Syed Ahmad dan Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Ahmad Mohd. Othman.

Mohd. Khusairi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim River, Perak, berkata, maklumat awal yang diterimanya mendapati bilangan penonton ke pawa­gam ketika ini semakin meningkat, namun mereka hanya menyaksikan filem luar negara.

“Sekarang penonton lebih minat kepada filem luar negara, jadi Finas kena lakukan sesuatu untuk mengatasinya. Filem tempatan sebenarnya ada tarikan tersendiri misalnya filem KL Gangster dan Ombak Rindu yang berjaya menepati cita rasa penonton.

“Sekarang perkara sebalik­nya berlaku kerana banyak filem tempat­an yang merapu dihasilkan, malah penonton juga banyak tertipu dengan promosi filem yang hebat, namun apabila mereka ke pawagam filem yang dihasilkan amat membosankan,” katanya.

Sementara itu, katanya, untuk menghasilkan filem tempatan, Finas turut menyediakan geran kepada penerbit, namun mereka perlu terlebih dahulu membentangkan skrip dan jalan cerita kepada jawat­ankuasa khas sebelum geran tersebut diluluskan.

“Jawatankuasa khas ini akan menilai skrip dan jalan cerita filem yang ingin dihasilkan, jika didapati skrip atau jalan cerita perlu diubah, penerbit perlu mengambil tindakan segera untuk penambahbaikan.

“Tindakan ini bagi memastikan filem yang dihasilkan dapat meme­nuhi cita rasa penonton, jumlah geran yang dikeluarkan kebiasaannya bergantung kepada filem itu sendiri, ada yang menelan belanja RM2 juta sehingga RM15 juta,” katanya.

Dalam pada itu, antara matlamat lain selepas dilantik sebagai pengerusi Finas, Mohd. Khusairi juga mahu memperjuangkan nasib lebih 30,000 pekerja dalam industri perfileman negara.

“Ketika ini lebih 30,000 pekerja industri ini tidak mempunyai pendapatan yang stabil dan hanya menggunakan konsep ada filem baru ada gaji, jadi perkara ini perlu diberikan penekanan selain memperkenalkan gaji minimum untuk mereka,” katanya.