Menterinya, Datuk Seri Mahd­zir Khalid berkata, tindakan FMT memutarbelit kenyataan seorang profesor itu bukan sahaja me­nyalahi etika kewartawanan malah mencalar imej pendidikan negara dan menggores hati seluruh warga pendidiknya.

“FMT tidak bertanggungjawab dengan berita yang dikeluarkan, mereka tidak boleh membuat tuduhan atau ambil kenyataan orang lalu jadikan berita yang sangat bias dan sangat tidak adil kepada guru serta pensyarah di Malaysia.

“Saya anggap perlu diambil tindakan terhadap portal berita tersebut kerana laporannya boleh menjejaskan kredibililti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sarapan Pagi Santai di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap di sini hari ini yang turut dihadiri penduduk dan pemimpin setempat.

Mahdzir mengulas tentang tindakan FMT yang menyiarkan kenyataan seorang profesor dari Universiti Harvard, Lant Pritchett yang menzahirkan kebimbangan sekiranya siswazah di negara ini menjadi seperti siswazah di Indo­nesia yang dakwanya hanya memiliki tahap pendidikan setara dengan pelajar sekolah mene­ngah di Denmark.

Portal tersebut bagaimanapun semalam tampil dengan pemohonan maaf setelah profesor ber­kenaan menafikan membuat ke­nyataan seperti dilaporkan FMT.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, sebagai pengamal media FMT perlu bersikap lebih bertanggungjawab terhadap berita yang dilaporkan dalam bentuk andaian sehingga mengundang persepsi negatif.

Katanya, sebagai pengamal media FMT tentu faham bahawa benda yang tidak betul tidak boleh disiarkan, begitu juga de­ngan hanya berdasarkan persepsi.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan sentiasa berusaha meneruskan agenda pembangun­an pendidikan dengan bukan saja untuk melahirkan pelajar ber­ilmu, berakhlak dan adaptif kepada cabaran tetapi boleh bertindak dengan pandangan dan pendapat yang betul.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata, perubahan format muka hadapan slip keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) merangkumi keputusan komponen psikometrik, kokurikulum dan sukan selain akademik akan dimulakan tahun ini.

“Laporan itu akan dilaksanakan tahun ini dengan ibu bapa bukan sahaja dapat melihat skor anak mereka dalam akademik tetapi semua lapangan,” katanya.