GOBIND SINGH DEO
GOBIND SINGH DEO 

Dalam satu kenyataan, SKMM memberitahu, pihaknya sehingga kini telah mengeluarkan lebih 120 lesen termasuk kepada pemain kurier antarabangsa utama untuk menyokong industri e-dagang yang semakin membangun.

"Mempromosi saingan yang sihat adalah amat penting untuk menggalakkan kecekapan perkhidmatan penghantaran dan inovasi," jelas kenyataan itu hari ini.

Tambah SKMM, sebagai syarikat penghantaran terbesar di Malaysia, Pos Malaysia (Pos) telah mengambil langkah drastik untuk memperbaiki sistem pos nasional bagi manfaat warga negara ini sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

Menurutnya, ini adalah antara langkah-langkah pemulihan yang dan akan diambil oleh Pos dalam masa 12 bulan akan datang.

Jelas kenyataan itu, ia susulan daripada saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada 12 Julai lalu untuk (Pos) memperbaiki perkhidmatannya.

Antara langkah tersebut ialah penambahbaikan Pusat Pemprosesan Bungkusan Berintegrasi (IPC) dan memperkasakan khidmat pelanggan.

"Sebagai tambahan kepada langkah-langkah yang diambil oleh Pos, SKMM akan meningkatkan rejim perlindungan pengguna dengan memperkenalkan kombinasi standard prestasi perkhidmatan minimum dan mekanisme kawalan kendiri kepada semua pemegang lesen pos dan kurier, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012.

"Sehubungan itu, sesi rundingan akan diadakan bersama pemegang taruh dalam suku kedua 2019," jelas kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE