Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak berkata, kedua-dua pihak akan melaksanakan kajian terperinci merangkumi pelbagai sudut termasuk melihat penilaian negara luar bagi memastikan rangkaian 5G menjadi sebuah sistem yang selamat sebelum dapat digunakan.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap isu berkenaan, SKMM akan membantu NACSA untuk menyediakan laporan yang diperlukan bagi mengkaji semua isu 5G dari pelbagai sudut sebelum diserahkan kepada Kemeterian Komunikasi dan Multimedia untuk tindakan seterusnya.

“Perlu diingat perkara ini akan melibatkan beberapa fasa penilaian dan rundingan seperti ekonomi serta perbincangan antara kementerian, oleh itu kita tidak meletakkan tempoh waktu untuk menyiapkan laporan lengkap,” katanya kepada pemberita selepas taklimat Laporan Prestasi Rangkaian (NPR), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status terkini isu pembinaan infrastruktur 5G di Malaysia oleh Huawei.

Media hari ini melaporkan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menunggu laporan daripada SKMM mengenai isu berkenaan sebelum dapat diputuskan pelaksanaannya.

Pada 19 Jan lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia akan menjalankan kajian terlebih dahulu untuk mendapatkan butiran sebelum bertindak menyekat syarikat Huawei daripada membina infrastruktur 5G di Malaysia, susulan kebimbangan berhubung pengintipan siber yang semakin meningkat dalam kalangan negara barat.

Sementara itu dalam pada majlis berkenaan, laporan NPR menunjukkan kebanyakkan penyedia perkhidmatan jalur lebar mudah alih, berwayar dan perkhidmatan suara mematuhi standard yang telah ditetapkan oleh SKMM di bawah Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

Menurut laporan tersebut, kriteria yang digunapakai untuk mengukur perkhidmatan ditawarkan merangkumi Throughput, Network Latency, Packet Loss, Call Setup Success Rate (CSSR) dan Dropped Call Rate (DCR).

“Beberapa siri ujian telah dijalankan bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan memenuhi keperluan yang ditetapkan.

“SKMM akan terus melaksanakan ujian mandatori bagi melindungi kepentingan para pengguna dan tindakan boleh diambil ke atas penyedia perkhidmatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika didapati melanggar MSQoS,” katanya. - UTUSAN ONLINE