Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, cadangan itu sedang diperhalusi dan kementerian beliau sedang turut melihat kepada beberapa model yang digunakan oleh negara lain.

"Buat masa ini kami ada menerima satu model (cadangan), namun kami masih lagi memperhalusi hal ini kerana kita mahukan satu model yang benar-benar memberi manfaat kepada petani," katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Bantuan Bencana Agromakanan bagi negeri Kedah dan Perlis di Pejabat MADA Wilayah III, di sini hari ini.

Skim insurans bagi golongan tani merupakan satu langkah yang lebih efektif bagi menjamin kebajikan golongan yang terlibat dalam industri dari sebarang bencana.

Antara negara yang telah memperkenalkan skim insurans ini ialah Filipina dan Indonesia.

"Walaupun kita mempunyai tabung kecemasan (untuk diagihkan), namun ia kurang efektif kerana jangkamasa yang diambil (untuk pengagihan) terlalu lama.

"Jadi, dengan adanya insurans ini, kami berharap agar kebajikan mereka akan lebih terjamin," kata Ahmad Shabery.

Dalam majlis penyampaian hari ini, seramai 2,167 usahawan tani dari sektor padi, ternakan, akuakultur dan industri asas tani menerima bantuan ihsan berjumlah kira-kira RM2.5 juta sebagai bantuan meringankan beban yang dialami sewaktu menghadapi banjir tahun lepas. - UTUSAN ONLINE