Sekolah yang hanya boleh dihubungi melalui perjalanan darat selama 16 jam iaitu dari Kuching ke Miri seterusnya enam jam menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke Marudi sebelum tiga jam menaiki bot ekspres ke Baram itu telah mengharumkan nama negara apabila menjuarai kategori Jalan Cerita Terbaik, Anugerah Kid Witness News (KWN) sempena Sidang Kemuncak Antarabangsa KWN di Tokyo, Jepun, kelmarin.

Guru pembimbing, Muhammad Saffuan Jaafar berkata, dia dan guru-guru lain yang terlibat amat bersyukur dan terharu kerana penantian mereka sejak November tahun lalu akhirnya membuahkan hasil.

Menurutnya, mereka dipilih mewakili negara dalam pertandi­ngan itu selepas memenangi kategori tersebut ketika pertandingan peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur awal November tahun lalu.

“Kami memang tidak menjangka akan menang memandangkan penyertaan dari negara lain juga tidak kurang hebatnya. Kemena­ngan ini menjadi motivasi kepada sekolah di pedalaman untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

SK Long Sepiling diwakili empat murid sekolah berkenaan iaitu Michael Nyamun, 11; Fiona Fredick, 12; Anilov Fabien Ti­ngang, 13; dan Juwita Ulean, 12.

Muhammad Saffuan berkata, mereka memenangi kategori itu menerusi video pendek bertajuk The Power of Hands hasil idea daripada rakan setugasnya serta murid sekolah itu.

Video berdurasi 4.54 minit yang mula disiarkan di YouTube sejak 13 Julai lalu, mengisahkan mengenai penyesalan seorang kanak-kanak lelaki yang kudung tangan kiri akibat bermain mercun dan memberi nasihat kepada rakannya agar mensyukuri nikmat yang diberikan kerana tangan manusia ada banyak kegunaan.

“Kami merakamkan video itu di sekitar sekolah dan Kampung Long Sepiling yang secara tidak langsung dapat menonjolkan kehidupan masyarakat di sini,” ujar Muhammad Saffuan.

Sementara itu, Michael ketika dihubungi memberitahu, dia sa­ngat gembira dengan kemenang­an itu kerana berjaya membuktikan murid di sekolah pedalaman juga mampu mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang.

Jelasnya, biarpun hanya sempat berlatih berlakon selama empat hari kerana kesuntukan masa, namun itu semua bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan.

“Kami berlatih di sebuah resort di Negeri Sembilan selama empat hari pada Ogos tahun lalu dan kemudiannya menyiapkan video kerana perlu disunting untuk dihantar menyertai pertandingan peringkat kebangsaan,” katanya.