Dalam kejohanan tersebut, anggota SJINCB, Ameerul Eyzam Zaipol Nizam dinobatkan sebagai drum major terbaik kejohanan.

Ameerul berjaya mengetepikan saingan tujuh lagi pesaingnya dari Brunei, Filipina, Indonesia, Thailand, Singapura, Poland dan Taiwan.

Selain itu, pasukan SJINCB turut meraih tempat kedua untuk kategori Colour Guard dan tempat kelima dalam kategori Brass Battle.

Kejayaan terbaru SJINCB ini meneruskan prestasi cemerlang pasukan pancaragam berkenaan dalam kejohanan-kejohanan yang disertai mereka sejak kebelakangan ini.

st john

Anggota pancaragam St. John's Institution Naval Cadet Band (SJINCB) dalam persembahan untuk kategori Colour Guard 

Pada kejohanan yang sama di Buriram, Thailand pada 2015 lalu, SJINCB muncul Juara dalam kategori Street Parade, Naib Johan untuk kategori Show Band dan tempat ketiga dalam kategori Drum Battle.

Dalam pada itu, Pengetua St. John’s Institution (SJI), Manmohan Singh Kartar Singh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak termasuklah guru penasihat pancaragam, ibu bapa, St. John’s Institution Cadet Band Alumni (SJICBA), St. John’s Alumni Association (SJAA) dan ramai lagi yang telah menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada kejayaan SJINCB.

Katanya, kejayaan terbaru yang dikecapi oleh SJINCB ini akan menyuntik semangat kepada pasukan pancaragam itu untuk berusaha dengan lebih gigih dan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang di masa-masa akan datang. - UTUSAN ONLINE