Siti Nurhaliza menerusi album ‘Unplugged’ mendapat tujuh pencalonan daripada 16 kategori iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Rakaman Album Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Album Terbaik.

Penghibur itu juga mendapat dua pencalonan dalam satu kategori iaitu Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu untuk lagu Jaga Dia Untukku dan Menatap Dalam Mimpi.

Ketika ditemui, Siti Nurhaliza melahirkan rasa syukur, puas dan gembira kerana karya seninya mendapat pelbagai pencalonan.

“Saya tidak meletak sebarang harapan. Tercalon pun sudah cukup terharu kerana album ini benar-benar dekat di hati saya.

“Malah persaingan yang ada juga boleh tahan sengit, jadi saya hanya berserah kepada juri untuk menilai karya saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Faizal pula berjaya mendapat lima pencalonan iaitu kategori Lagu Pop Terbaik (dua pencalonan), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Album.

Dalam pada itu, majlis anugerah berprestij yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu turut menyaksikan penyanyi Sonaone dicalonkan dalam tiga kategori iaitu Lagu Hip Hop Terbaik, Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM22, Rosmin Hashim berkata, sebanyak 731 pencalonan diterima dan menunjukkan peningkatan menggalakkan jika dibandingkan dengan edisi sebelum ini yang berjumlah 610 pencalonan.

“Pencalonan artis-artis baharu dan lagu-lagu yang kurang dikenali ramai membuktikan AIM terus mengiktiraf hasil-hasil karya penggiat seni muzik yang berkualiti,” katanya.