Siti dan Anggun akan mengadakan persembahan di konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends yang akan diadakan pada 2 April ini di Stadium Negara. Konsert yang turut menampilkan penyanyi Afgan, Chakra Khan, Faizal Tahir dan Hafiz Suip itu juga akan diadakan secara percuma bagi pelanggan Celcom XPAX.

Siti atau nama penuhnya, Siti Nurhaliza Tarudin berkata, konsert ini juga sempena 20 tahun pengli­batannya dalam industri hiburan.

“Kalau ikutkan saya sudah berjanji untuk berehat daripada membuat apa-apa persembahan besar, namun apabila tawaran datang daripada pihak Celcom XPAX dan Yonder Music, saya tidak mahu menolak,” katanya dalam sidang akhbar konsert tersebut hari ini.

Sementara itu, Anggun atau nama sebenarnya Anggun Cipta Sasmi, 42, melalui rakaman video, turut berkongsi perasaan gembiranya diundang ke konsert itu.

“Ini adalah suatu penghormatan buat saya untuk diundang menjayakan konsert ini bersama Datuk Siti. Tentunya saya sendiri tidak sabar lagi untuk menjayakan konsert ini buat peminat saya di Malaysia,” katanya.