Menurutnya, ketika ini, beliau sibuk menguruskan bidang perniagaan yang diceburinya terutama pemasaran produk kecantikan, SimplySiti dan tudung Ariani X Creation by Siti Nurhaliza.

‘‘Jadi, tumpuan saya diberikan kepada bidang itu. Insya-Allah selepas hari raya nanti, saya akan tampil dengan sebuah album baharu dan ketika ini proses menyediakan bahan-bahan termasuk lagu untuk album terbaharu itu sedang giat dijalankan,’’ katanya.

Beliau yang hadir bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Jiwa atau Datuk K ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan sumbangan kebajikan kepada 60 penerima anjuran Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di kediamannya di sini hari ini.

Majlis penyampaian bantuan kepada penerima kurang berkemampuan dari Parlimen Masjid Tanah itu dihadiri lebih 1,000 peminat beliau dan turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Siti Nurhaliza berkata, beliau terharu kerana dapat bersama-sama dengan peminat dalam majlis penyampaian bantuan tersebut yang disifatkan sebagai satu sumbangan bermakna bagi membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan untuk menyambut ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi.

Katanya, ini merupakan majlis penyampaian bantuan yang terawal dihadirinya dan selepas ini beliau akan mengadakan program kebajikan seperti itu di kampung halaman suaminya di Kedah dan di negeri kelahirannya di Pahang.

Mengulas mengenai pembabi­tannya dalam bidang perniagaan, Siti Nurhaliza berkata, kenyataannya untuk berehat seketika sebelum ini adalah bagi memberi tumpuan terhadap bidang tersebut.

‘‘Saya mengambil keputusan untuk mengurangkan pengli­batan saya dalam bidang nyanyian selepas konsert saya pada bulan April lalu bagi menumpukan kepada bidang perniagaan dan sudah pasti saya akan kembali selepas ini dengan album terbaharu sebagai hadiah kepada peminat,’’ katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan bakal muncul dengan berita gembira buat peminat selepas mengalami keguguran pada peng­hujung tahun lalu, Siti Nurhaliza berkata, beliau meminta peminatnya mendoakan supaya dikurniakan rezeki itu.

‘‘Saya sedang berehat dan diharapkan masa rehat saya ini bakal memberikan satu khabar gembira kepada peminat. Insya-Allah saya akan umumkan nanti jika ada khabar gembira itu. Doakan yang terbaik untuk saya dan suami,’’ katanya.

Pada 26 November lalu, pe­nyanyi yang mendapat jolokan ‘Si Jantung Hati Malaysia’ itu disahkan keguguran selepas membuat pemeriksaan perubatan dan Utusan Malaysia pernah menyiarkan berita mengenai kehamilan penyanyi itu yang memasuki usia bulan kedua pada 13 November lalu.